Saturday 7 September 2013

Kewajipan Menutup Aurat


Ramai wanita muslim hari ini tidak mengambil berat dengan memakai pakaian menutup aurat dengan sempurna. Ramai di antara mereka lebih suka dan terpengaruh dengan ciri-ciri pakaian yang berfesyen semasa terutama fesyen yang datangnya daripada barat.
Islam tidak melarang jika sekiranya wanita muslim ingin menggunakan fesyen terkini di zaman moden ini tetapi pakaian tersebut biarlah digunakan daripada kain yang tidak terlalu nipis dan reka bentuk pakaian tersebut mestilah menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan , tidak terlalu ketat hingga menampakkan bentuk tubuh badan.
Corak dan warnanya perlulah sederhana tidak terlalu cerah hingga mendatangkan daya tarikan kepada orang yang melihatnya.
Jika syarat-syarat tersebut di patuhi maka tidak menjadi masaalah wanita muslimah menampilkan diri dengan pakaian yang memenuhi cita rasa semasa pada masa yang sama tidak bercangah dengan syariat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Untuk perbincangan lebih lanjut mengenai aurat wanita perlulah di jelaskan di sisi beberapa kesilapan wanita tentang aurat supaya kita dapat mencari kesilapan tersebut dan dapat di perbaikinya.

Terdapat Beberapa Kesilapan Wanita Tentang Aurat :

  • Pertama : Wanita menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
  • Kedua : Bertudung tetapi ber’ T-Shirt’ berlengan pendik.
  • Ketiga : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
  • Keempat : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.
  • Kelima : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
  • Keenam : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
  • Ketujuh : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
  • Kelapan : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
  • Kesembilan : Kesalahan bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
  • Kesepuluh : Memakai baju kurung tetapi dipergelangan tangan tidak dipinkan hingga menampakkan kulit lengan.
Kesemua jenis berpakaian yang disebut di atas adalah diharamkan secara sepakat seluruh ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mukminah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat itu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali.
Firman Allah SWT yang bermaksud :”Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir”(Surah an-Nur ayat 31)
Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud ‘perhiasan’ perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.
Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh kerana itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi SAW seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama tabien seperti Said bin Jubair, ‘Atha’, Auza’i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.ha, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, demi menjaga meluasnya kerosakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.

No comments:

Post a Comment